Cahaya Kemenangan Dalam Ruang Ramadhan
Tanggal 1 Ramadhan 1441 Hijrah- Dengan izin Tuhan saya akan membicarakan sedikit perihal cahaya kemenangan yang mungkin diperolehi di Bulan Ramadhan ini. Sebelum itu mari-marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat Tuhan kerana telah memberikan kita Islam dan Iman. Memetik penjelasan Prof. Dr. Hamka di dalam bukunya Kesepaduan Iman dan Amal Salih, mengatakan bahawa;
“Iman dan Islam itu percaya dan menyerah, adalah dua kalimat yang tidak tercerai selama-lamanya. Tidaklah cukup percaya sahaja padahal tidak menyerah. Dan menyerah tidaklah sempurna kalau tidak dari kepercayaan”.
Prof. Dr. Hamka menambah lagi dalam bukunya tersebut.
“Dalam seluruh segi kehidupan, suatu kepercayaan haruslah haruslah diikuti oleh bukti. Bersorak-sorak menyatakan kepercayaan, tetapi tidak diikuti oleh bakti dan bukti adalah sesuatu pendustaan Jiwa”
Maka, apa yang hendak disampaikan oleh Ulama Nusantara ini kita seperti hidup dalam kebohongan jiwa, kerana tiadalah sesuatu bukti. Laksana seorang yang tertuduh, jiwanya tidak tenteram kerana ketiadaan bukti yang kukuh untuk membebaskan ia dari kesalahan. Bibir mampu mengungkapkan bahawa dirinya tidak bersalah, tetapi hatinya berkata tidak!
Di dalam Islam juga, telah membawakan satu bulan, yakni Bulan Ramadhan yang mana di dalam Bulan ini juga telah diturunkan ayat Al-Quran pada 17 Ramadhan, di Gua Hirak kepada Rasulullah. Menarik apa yang telah dituliskan oleh Ulama Nusantara kita Syed Syeikh Al-Hadi dalam bukunya “Ugama Islam dan Akal”
“Di dalam bulan Ramadhan inilah mula turun Qur’an yang menunjukkan cahaya kebenaran kepada sekalian manusia, yang sedang diselubungi oleh kesesatan kerana kejahilan mereka dan kerana dihasut oleh Syaitan, sebab telah terluput daripada mereka petunjuk Tuhan kemudian daripada wafat Sayyidina Isa a.s selama lebih kurang enam ratus tahun”
Di dalam bulan Ramadhan inilah membawa manusia itu supaya bersifat Taqwa, yang telah difirmankan oleh Tuhan di dalam surah al-Baqarah, ayat 183.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”
Perintah berpuasa ini bukanlah hanya disandarkan kepada golongan miskin sahaja, tetapi disandarkan kepada seluruh umat Manusia tidak mengira pangkat, jawatan mahupun kelas atasan dan kelas bawahan yang mana bersama-sama menuntut keredhaan Tuhan, bahkan Puasa ini adalah tarbiyah Tuhan itu sendiri kepada makhluk pilihannya iaitu Manusia.
Menarik juga jika kita melihat Ramadhan ini adalah bulan kemanusiaan. Kerana disinilah kebanyakkan manusia giat melakukan amal soleh dan memperbanyakkan sedekah, bahkan perintah Zakat juga dilaksanakan pada bulan Ramadhan ini. Kerana sifat Islam itu juga sendiri adalah mengutamakan nilai kasih sayang sesama manusia. Kegiatan kebaikan ini yang bukan hanya sekadar orang agamawan sahaja yang melakukan. Bahkan ada segolongan remaja, mengedar kurma kepada khalayak ramai, mereka tidaklah berkopiah, jauh sekali berjubah putih, tetapi ada segelintir yang mengedar kurma mengenakan subang ditelinga, walhal dia lelaki. Bukanlah cara pemakaian itu kita lihat, tetapi kebaikan yang mereka usahakan. Moga ada kebaikan bagi mereka.
Betapa makmurnya di dunia ini, kalau manusia itu saling mengasihi antara satu sama lain. Berjiwa kemanusiaan! Seperti dalam buku “Kehidupan Cinta” hasil karya penyair humanisma Lebanon, Khalil Gibran yang mengajak dengan menukilkan bahawa manusia itu haruslah bertemankan dengan jiwa. Jika manusia itu mempunyai jiwa, maka terdapatlah dalam dirinya sifat kemanusiaan. Sifat yang saling bantu-membantu.
Seperti sabda Rasulullah S.A.W
“Sesungguhnya Allah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Baginda juga menyebutkan:
“Sesiapa berupaya memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (Riwayat Muslim)
Kerana Khairunnas Anfa’uhum linnas “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain”. Bahkan ini juga merupakan sabda nabi. Tidaklah disini kita menyatakan bagaimana dan cara untuk memberi manfaat, kerana zaman sekarang terbuka luas untuk melakukan hal-hal kemanusiaan, walaupun sekecil-kecil seringgit disalurkan kepada yang memerlukan atau menyumbangkan pakaian yang masih elok untuk diragakan semula oleh manusia yang tidak berkemampuan. Terasa sayulah kita, pada zaman ini, masih ada orang iaitu seorang Ibu yang meminta kepada saudaranya yang lain jika ada baju melayu lebih, untuk dipakai oleh anaknya atas sebab tidak mampu untuk membelikan yang baharu. Ada pula, orang lain sibuk mempersiapkan rumah mereka dengan cat yang masih baharu dan langsir yang menawan, dan ada orang lain rumah mereka tidaklah seindah rumah yang tadi, mungkin sahaja jika diwarna semula dindingnya, tapi tidak kesampaian. Kenapa? kerana tidak ada yang perlu dibereskan, akibat dinding rumah sudah rebah sebelum diwarnakan! Ini bukan cerita dongengan, tapi realiti masa kini.
Masihkah lagi kita perlu berdiam diri?
Leo Tolstoy yang merupakan pujangga Rusia mengatakan setelah tegaknya bahagia masyarakat, barulah wujud kebahagian diri. Pendapat ini dapatlah kita temui yang telah diselitkan Prof. Dr. Hamka di dalam bukunya Tasawuf Moden.
Semoga amalan kemanusian yang telah dididik di dalam bulan Ramadhan ini dapat diteruskan pada bulan seterusnya. Berpesan seorang manusia, susunlah kebaikan itu. Natijahnya, akan tiadalah kebaikan itu dilakukan secara semberono. Akhir kalam, Jika diteruskan semangat kemanusian ini untuk membantu sesama manusia. Mampulah kita katakan sekiranya setiap manusia itu meletakkan nilai ini dalam setiap diri insan yang bergelar “Homo-Islamicus (Manusia Islam)” yang tugasnya untuk beribadah dan memakmurkan alam. Juga Bertemankan jiwa! Maka mudahlah Cahaya Kemenangan itu tercapai!
“Memiliki harta yang banyak bukan untuk diagung, berdiri membicarakan perihal manusia bukan untuk disanjung”
-Mazwan Md
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?