Peperangan dalam islam menurut Firman Allah SWT yang bermaksud: “Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi disebabkan mereka dianiaya. Dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menolong. Iaitu mereka yang diusir dari rumah mereka tanpa alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah.” (Al-Hajj: 39-40). Nabi Muhammad berperang kerana iman dan dibuktikan oleh sejarah menunjukkan islam tidak menghancurkan sesuatu kaum atau daerah semasa zaman pemerintahan baginda. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sepanjang 84 siri perang Nabi SAW, angka korbannya cuma 321 orang dan jika dibandingkan dengan peperangan sezaman dengannya seperti kerajaan Parsi dan Rom, jumlahnya jauh lebih besar. Hal ini kerana, strategi Nabi SAW dalam peperangan lebih kepada tujuan dakwah iaitu menawan dan mengislamkan kaum Musyrikin, bukan dengan niat lain seperti menjajah tanah mereka. Islam tidak mengalakkan untuk berperang namun mendapat wahyu untuk berperang maka umat islam dibenarkan untuk mengangkat senjata.
Perang Badar Al Kubra terjadi pada bulan Ramadhan tahun kedua sesudah Hijrah. Umat Islam berhasil memenangi perang ini. Dalam sejarah, inilah kemenangan agung pertama pejuang-pejuang Islam menentang kemusyrikan dan kebatilan. Kisah Perang Badar adalah peristiwa yang paling terkenal dan sangat banyak terdapat hikmah dan pelajaran di dalamnya. Rasulullah memimpin langsung aksi penyerangan yang hanya melibatkan sekitar 313 orang muslim, 8 pedang, 6 baju perang, 70 ekor unta, dan 2 ekor kuda. Sedangkan kaum Quraisy memiliki 1.000 orang, 600 persenjataan lengkap, 700 unta, dan 300 kuda.Namun, semangat jihad yang membara di bulan Ramadhan membuat pasukan Islam berhasil menewaskan tiga pimpinan perang dari kaum Quraisy, yakni Utbah, Syaibah, dan Walid bin Utbah.
Peperangan ini menunjukkan peristiwa perang merisaukan kerana bilangan tentera islam yang sedikit berbanding tentera Quraisy yang begitu ramai dan kuat dengan peralatan yang lengkap. Namun begitu Rasulullah tidak mengalah tetapi mendapat kata-kata semangat daripada sahabat dan tenteranya malah Allah telah menurunkan wahyunya kepada Nabi Muhammad. Oleh yang demikian itu, Rasulullah telah tersenyum dan penuh bersemangat untuk bertempur dengan kaum Quraisy dengan tidak jemu-jemu memohon doa daripada Allah bagi memudahkan urusan untuk berperang.
Ketika peperangan berlaku, tentera Islam yang seramai 313 orang berlawan mati-matian untuk menewaskan tentera Quraisy. Rasulullah senantiasa mengamati gerak-geri tentera Islam. Dengan sebentar waktu, berpuluh-puluh tentera musyrikin menghembuskan nafasnya, melayang jiwanya meninggalkan badannya bergelimpangan diatas tanah bermandikan darah. Tentera Islam senantiasa menyebut “Esa! Esa! Esa!”.
Seterusnya, Rasulullah pula tidak henti-henti memanjatkan do’a pada Allah memohon kemenangan tentera Islam. Ada seketika dengan tidak ada sebab apapun, Rasulullah telah jatuh dengan mendadak sebagai orang pengsan. Tubuhnya gementar dan kedinginan bagaikan orang ketakutan.Namun begitu, tidak berapa minit baginda bangun dengan tegak lalu bersabda kepada Abu Bakar r.a. yang senantiasa berada disisinya, yang ertinya “Gembiralah oleh mu hai Abu Bakar setelah datang pertolongan dari Allah kepadamu. Ini Malaikat Jibril sampai memegang kendari kuda yang ia tuntun atas kedua gigi sarinya berdebu.”
Dalam daripada itu, Rasulullah memberi semangat kepada tenteranya dengan sabdanya yang membawa maksud dan jaminan bahawa tentera Islam yang turut serta di perang Badar dijamin masuk syurga. Mendengar ini, tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya. Ramai pembesar-pembesar Quraisy yang terkorban dan pada akhirnya, mereka bubar dan melarikan diri. 70 orang kaum Quraisy terbunuh dan 70 yang lain tertawan. Manakala tentera Islam pula hanya 14 yang syahid (6 dari Muhajirin dan 8 dari Anshar). Tentera Islam mendapat kemenangan dari sebab keteguhan dan ketabahan hati mereka. Bangkai-bangkai tentera musyrikin dilempar dan dikuburkan didalam sebuah perigi/sumur di Badar. Setelah kesemuanya berakhir maka mereka pulang ke kota Madinah semula bagi mempertahankannya dengan disambut dengan riang gembira oleh orang yang tidak mengikut peperangan, iaitu penduduk Madinah.
Selain daripada itu, setelah berada di Madinah Rasulullah memikirkan cara yang terbaik untuk orang tentera tawanan. Rasulullah juga berpesan pada orang ramai supaya bersikap baik dan belas kasihan kepada orang tawanan. Sehingga ada kaum muslimin yang memberikan satu-satunya roti yang ada kepada orang tawanan. Sehingga orang tawanan merasa segan dengan kebaikan yang ditunjukkan. Rasulullah kemudian berbincang dengan orang Islam tentang nasib tawanan Badar. Ada yang menyatakan dibunuh saja kerana mereka telah engkar dengan Allah dan mengusir kaum Muhajirin dari Makkah. Ada pula yang lebih lembut hatinya dan disuruh lepaskan saja dengan harapan mudah-mudahan mereka akan insaf dan tertarik dengan Islam. Setelah lama berbincang, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan mereka dengan mengenakan tebusan sekadar yang sepatutnya mengikut keadaan masing-masing. Setinggi empat ribu dirham dan serendah satu ribu dirham. Bagi yang miskin tetapi ada pengetahuan membaca dan menulis dikehendaki supaya mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam. Mereka semua dibebaskan apabila tebusan telah dibayar atau kanak-kanak itu telah pandai.
Peperangan Badar telah mengukir kesan yang besar terhadap kota Madinah malah kepada umat islam dalam erti kata lain peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi agama Islam. Andai kata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat orang-orang Islam malah agama Islam itu sendiri. Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar. Mereka telah mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan Munafiqin Madinah. Sebaliknya pengaruh orang Quraisy Makkah mula lemah dan merosot. Orang yang ditawan oleh tentera Islam pula, apabila mereka balik ke Makkah setelah dilepaskan telah menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam. Cerita ini dengan tidak secara langsung telah memberi pertolongan yang besar kepada perkembangan agama Islam di Makkah. Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari orang Quraisy secara diam telah berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam. Dengan ini tentera Islam bertambah dari masa ke masa. Perang Badar telah memperkuatkan lagi kepercayaan orang Islam kepada nabi Muhammad S.A.W. dan ajaran Islam. Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam.
Kesimpulannya, daripada peperangan ini ialah Kaum Quraisy terlalu yakin yang mereka akan berjaya memusnahkan Islam yang memang sedikit dari jumlah tetapi tidak dari semangat. Mereka tidak dapat mengalah tentera Islam kerana semangat tentera Islam begitu kukuh kerana Rasulullah telah berjaya menjalin silaturrahim yang kuat sesama Islam. Nabi Muhammad S.A.W adalah pentadbir yang berkaliber dan pintar mengendalikan taktik peperangan. Orang Islam mempunyai pegangan iaitu berjaya di dunia atau mati syahid.
Ameer Usaimin
Peserta kempen Write @ Home,
Persatuan Nastia Youth Club
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?