“Sungguh kiamat itu benar-benar akan terjadi, sampai dua orang lelaki sedang mengenakan pakaiannya, tidak sempat berjual-beli serta mengakhiri jual-belinya. Sungguh kiamat itu benar-benar akan terjadi, sampaikan seorang lelaki yang memerah susu untanya, tidak sempat meminum susu yang diperahnya. Sungguh kiamat itu benar-benar akan terjadi sampaikan orang yang sedang membaiki kolamnya, tidak sempat memberikan air kolam itu kepada haiwan ternakannya. Sungguh kiamat itu akan terjadi, sampaikan orang yang sedang mengangkat makanannya ke mulut, tidak sempat menikmati makanannya.”
Sahih Muslim dalam Kitab Al-Fitan, Bab Qurbi Al-Sa’ah, Hadith 2954
Hadith ini jelas menggambarkan bahawa saat kiamat terjadi, manusia masih bertebaran di atas muka bumi. Mereka bersahaja melalaikannya lalu tidak mengendahkan perihal kiamat yang akan berlaku di sekitar mereka. Ada yang masih berjual-beli, bercucuk tanam, bergembira, tidur dan ada yang masih sedang berekriasi.
Tanpa mereka sedari, hadir tempikkan yang memekakkan telinga yang menghentikan segala aktiviti mereka seketika. Kiamat itu hadir begitu cepat dan mengejutkan tanpa khabar. Ia mencabut nyawa sesiapa sahaja walau dimana pun mereka berada tanpa ada yang tertinggal. Namun manusia masih tidak mengendahkan perihal berikut walau tanda dan peringatan sering ditayangkan di kaca mata mereka.
Jelas akan perihal itu, tiada satu pun manusia yang mampu menjangka akan hadirnya kiamat itu. Diceritakan pula,
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat, “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah :”Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapapun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah ; “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.”
(Al-A’raaf : 18)
Walaupun tidak dinyatakan bila hadirnya kiamat, namun tanda-tanda kiamat ada disebutkan dalam hadith. Antaranya, muncul asap Dukhan yang beracun menyebabkan kematian secara maut. Hadirnya Dajjal menebar fitnah yang mengakibatkan kematian secara besar. Dabbah, sejenis binatang raksasa yang akan muncul di sekitar bukit-bukau Kota Suci Mekah. Matahari timbul dan tenggelam secara tidak teratur memberi impak rosaknya ekosistem yang mengancam kehidupan. Turunnya Nabi Isa A.S kebumi membawa sekilas harapan. Munculnya Ya’juj dan Ma’juj dalam jumlah yang ramai untuk membuat kerosakan di sekitar bumi. Berlakunya gempa bumi di bahagian Timur, Barat dan Semenanjung Arab dan timbulnya Api Raksasa yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar.
Mungkin antara tanda besar kiamat belum menunjukkan kehadirannya. Namun, kiamat kecil terlebih dahulu mengetuk pintu dunia sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Nabi SAW iaitu penaklukan Baitulmuqaddis seperti yang kelihatan dunia kini Baitulmuqaddis yang dahulunya dihuni penduduk Palestin kini dikelilingi oleh Israel. Zina tidak lagi asing untuk masyarakat malah diperkatakan dengan bangga. Pemimpin terdiri dari orang yang zalim dan jahil, mungkin kita tidak sedar kerana di Malaysia kita ditadbir oleh orang Islam sendiri namun di mata global dunia ditadbir oleh kerakusan orang kafir yang jelas kelihatan perbuatan zalim mereka. Muzik diperdengarkan serata dunia menutupi hati manusia untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran. Masjid diperhias secara berlebihan namun tidak berpenghuni. Putus silaturrahim antara saudara kerana dibutai dengan harta dunia. Ramainya alim ulama pergi meninggalkan dunia. Dusta dan fitnah adalah perkara yang tidak lagi asing. Orang fasik dimuliakan manakala orang soleh dipinggir dan angka kematian meningkat saban hari.
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” tiada siapa yang menjawab. Lalu Allah menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran dan keagunganNya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup.
Bersediakah kita menemui kiamat yang hadir tanpa salam? Atau kita masih menyibukkan diri dengan kegilaan dunia yang fana sedangkan peringatan itu sedikit demi sedikit membuktikan kehadiran akan Hari Kiamat.
Penulis,
Zakwan M.Radhi
Peserta Write @ Home
Persatuan Nastia Youth Club
RUJUKAN
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?