fbpx
Penghantaran Percuma untuk pembelian melebihi RM199
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

UTAMA
JT & JIWA
CARI
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

Continue shopping
TROLI

Diari Buat Baidaitul Alya

Abu senja melayang menyaluti waktu malam. Tatkala bunyi desiran dan deruan ombak mula memecah kesunyian malam. Unggas rimba masih bersimfoni mengalunkan irama. Daun-daun akan berdesir menerbitkan lagu jika terpukul oleh angin semilir yang jinak. Sesekali terdengar bunyi cengkerik bersilih ganti dengan sang unggas menjadi saksi malam yang dingin itu. Kelihatan Mak Salma masih mundar mandir di ruang tamu rumahnya. Entah apa yang difikirnya kali ini. Peristiwa lampau bercahayakan kesuraman yang sungguh kelam. Kebimbangan yang berakar di perdu hatinya.  Dia bimbang dan takut peristiwa 17 tahun lepas akan terus membelenggu hidupnya. Mata redupnya memancarkan seribu satu keperitan. Kisah silam seolah-olah ada kerusuhan yang berbungkal di hatinya. Air matanya mula luruh dan dia cuba untuk menenggelamkan kisam silam.

 

“Ya Allah, apa yang aku sudah lakukan ini? Aku tak mampu untuk menyorok segala khilafku” bisik hati kecilnya.

 

Rumah usang peninggalan arwah ibu dan bapanya menjadi istana persinggahan Mak Salma dan anaknya Baidatul Alya. Malam seolah-olah memahami kesedihan yang ditanggung oleh Mak Salma selama ini. Ada bahasa yang mula berbicara di matanya. Ada intonansi protes dalam suaranya. Kepedihan yang tidak tertanggung dalam jiwanya. Air mata mula berleteran dari lubuk kesedihan.

 

“Abang, kenapa sanggup lakukan begini pada Salma..apa salah Salma?” hatinya mula memberontak.

 

Suaminya, Encik Bukhari seorang anggota tentera yang hanya pulang menjenguk Mak Salma setiap 3 bulan sekali. Luluh hati Mak Salma bila melihat Encik Bukhari membawa isteri baru ke pangkuannya. Peristiwa itu menyebabkan Mak Salma menyimpan hasrat dendam yang mendalam. 

 

“Salma, kenalkan Zaleha,isteri kedua abang..sudah 2 bulan abang berkahwin dengan dia, maafkan abang tidak memberitahu Salma hal ini” jelas Encik Bukhari dengan nada terketar-ketar.

“Abang! Apa salah Salma?” sanggup abang menduakan Salma saat Alya masih kecil” 

“Kasihanilah kami” jelas Mak Salma

“Salma beri dua pilihan sama ada abang memilih dia atau ceraikan Salma hari ini!

 

Alya pada waktu itu tidak mengerti apa-apa. Bayi seawal usia 4 bulan ditinggal oleh bapa kandung sendiri tanpa merasai kasih sayang seorang ayah. Baidaitul Alya dibesarkan oleh ibunya Mak Salma. 

Malam itu menjadi saksi dan bukti peristiwa hitam yang memberi kesan yang mendalam. Desir angin bagai menghulurkan salam kedamaian. Daun-daun kering yang ringan turut diseret angin. Mak Salma masih tidak dapat menerima perbuatan Encik Bukhari terhadapnya. Perasaan amarah mula menggelegak. Dirinya mula diselimuti perasaan pesimis. Malam itu menjadi saksi peristiwa hitam yang meragut kebahagiaan mereka dua beranak. Kesilapan pada satu saat membawa duka sepanjang hayat. Mak Salma tidak dapat menahan kesedihan lagi. Ketika hati diruntun kesedihan bercampur baur dengan amarah yang begitu menekan, tindakan di luar jangkaan tidak diendahkan lagi. Keseimbangan emosinya mula tergugat.

       Malam itu sewaktu Baidatul Alya sedang leka di buaian, Mak Salma mencapai sebilah pisau kecil lalu ditusuk mata Alya. Pada waktu ini hilang sudah kewarasan akalnya. Akibat terlalu marah akan suaminya, Mak Salma mula bertindak agresif. Perkataan yang dilafazkan oleh Encik Bukhari masih terngiang-ngiang dalam kotak memorinya. Dia masih tidak dapat menerimanya. 

 

“Salma binti Zainor, aku ceraikan engkau dengan talak 3” ucap Encik Bukhari sejurus selepas itu beredar meninggalkan mereka.

 

     Selepas Encik Bukhari melafazkan cerai pada Mak Salma petang tadi, perkataan itu seolah-olah berulang kali ditayang dalam fikirannya. 

 

“Arghhhh, kenapa harus aku yang  lalui semua ini” bisik hatinya.

Lamunan Mak Salma tiba-tiba terganggu dengan bunyi kokokan ayam jantan di halaman rumah.

 

17 tahun berlalu…..

Pagi yang tenang dengan pukulan ombak yang tidak pernah mungkir. Rutin pekerjaan Mak Salma setiap pagi menjaja kuih di sekitar rumahnya. Dibantu oleh anak gadis yang cantik jelita Baidaitul Alya. Kecantikan Baidatul Alya menjadi buah mulut orang-orang kampung dan jiran-jiran mereka. Kini Alya sudah melangkah ke tingkatan lima meneruskan kehidupannya sama seperti insan lain. Hati gadis ini banyak terluka dek hinaan dan cacian orang-orang sekelilingnya. Pernah sekali dia ingin membunuh diri dek sudah tidak tertahan dengan cacian, herdikan dan hinaan orang ramai. Dirinya bermonolog sendirian dan bercampur baur dengan perasaan yang sedih sepanjang hari. Setiap kali Alya bertanyakan perihal bapanya kepada ibunya, lantas Mak Salma memberitahu bapanya meninggal dalam satu kemalangan. 

     Titisan hujan di pagi yang hening seolah-olah tahu akan kesedihan yang dihadapi Alya sepanjang hari. Mujurlah ada insan yang berhati mulia dan baik seperti Harith Mirza yang banyak membantu keluarga Alya. Mereka hidup berjiran daripada kecil lagi. Harith, kawan baik Alya yang dianggap sebagai adik beradiknya sendiri. Harith banyak memahami isi hatinya. Baginya, Alya adalah insan yang istimewa dalam hidupnya. Setiap petang mereka berdua banyak meluangkan masa di tepi pantai tidak jauh dari rumah. Alya banyak menceritakan masalahnya kepada Harith. Baginya Harith seorang pendengar yang setia dan tidak pernah bosan mendengar rungutan Alya. 

 

“Alya, bersabarlah..suatu masa nanti perbuatan mereka pasti akan terbalas jua” 

“Walaupun dirimu cacat penglihatan tapi kecantikan, ketulusan dan kebaikan Alya tak mampu mereka tandingi tau”. Tambah Harith lagi.

“Tapi, sampai bila Harith? Alya tak mampu lagi hadapi hari-hari yang mendatang, seolah-olah masa depan kelam dimamah kebencian orang.” Dengan nada sebak Alya membalas.

“Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri, Alya dikurniakan wajah yang cantik, baik budi pekerti dan akal yang bijak lagi. 

“Usah hiraukan mereka, terdiam juga nanti tu” Harith dengan nada memujuk bersuara.

 

Setiap pagi sebelum ke sekolah Alya membantu ibunya menjaja kuih dan nasi lemak di sekitar rumahnya. Hasil jualan kuih dan nasi lemak inilah yang membantu Alya meneruskan kehidupannya. Mungkin tidak banyak tetapi rezeki sentiasa ada setiap hari. Mak Salma menyara Alya dengan titik peluh usahanya sendiri. Usai membantu ibunya, Alya bersama-sama dengan Harith menuju ke sekolah. Jarak sekolah dengan rumahnya sekitar 1 kilometer sahaja. Dicapainya tongkat sambil ditemani Harith setiap hari.

Sebenarnya dalam masa yang sama, Harith menyimpan hasrat dalam hatinya. Dirinya seperti panahan arjuna yang tidak berpenghujung. Dia menyukai Alya dalam diam tetapi bibirnya kelu dan beku untuk mengungkapnya. Dia bimbang cintanya itu ditolak mentah-mentah oleh Alya. Bagaikan ada batu yang menindih lidahnya untuk bersuara. Harith senang berkawan dengan Alya, mungkin dia sangat meminati Alya. Apa saja kehendak Alya terus diturutinya. Dia bagaikan telah dilambung oleh perasaannya sendiri. Sampai di sekolah, Harith terus menghantar Alya ke kelas 5 Khas. 

 

“Oii si buta!! kau ni menyusahkan orang lah, jalan cepat sikit lah!”

“Si buta tak ada bapa, bapanya dah buang keluarganya” 

 

Suara-suara sumbang yang mengejek Alya di sekolah seolah-olah menari-nari dan terngiang-ngiang dalam lubuk fikirannya. Hampir setiap hari kehidupan Alya di sekolah diejek oleh kawan-kawan sekolah. Alya ditempatkan dalam kelas pemulihan khas dan orang kurang upaya (OKU). Air matanya setiap hari bergelinangan dan dia merasakan dirinya tidak berguna di mata orang lain. Kelas bermula seperti hari-hari biasa, sejurus selepas itu Cikgu Norizan melangkah masuk ke dalam kelas. Boleh dikatakan Alya antara pelajar yang cemerlang dalam kelasnya. Walaupun dia cacat penglihatan tetapi akalnya celik. 

Tahun ini Harith dan Alya bakal menghadapi SPM. Harith bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera. Manakala Alya pula seorang doktor. Dia bercita-cita untuk menjadi doktor bagi mengubati matanya kembali. Dia mahu melihat seperti insan lain. Selesai mengulangkaji pelajaran setiap hari, mereka akan meluangkan masa bersama-sama di Pantai Linut tidak jauh dari rumah mereka. Udara pantai tenang menghembus setiap hari menjadikan perasaan Alya redup sepanjang di sini. 

 

“Harith, dari kecil lagi Alya suka berada di pantai, tenang kan?”

“Pantai seolah-olah faham apa yang terbuku di hati Alya selama ini”

“Harith, walaupun Alya tidak dapat melihat sejak kecil, tapi Alya dapat merasakan pantai itu sangat cantik” tambah Alya lagi.

 

Hanya Tuhan yang mengetahui gelombang perasaannya. Gurat-gurat penderitaan selama ini terlindung di sebalik wajahnya yang ceria. Alya bukannya budak mentah lagi dalam menangani hidup yang penuh pancaroba. Dia cuba menyemarakkan lagi obor semangat yang mula menjalar. Alya amat istimewa kerana memiliki hati yang cekal dan tabah. Walaupun hidupnya berkuah derita dan berulam nestapa tetapi hatinya begitu garing dan kering menghadapinya. 

Dia sentiasa ingat kata-kata Mak Salma

 

“Insan yang terampil dengan pekerti dan akhlak termulia akan hidup didakap bahagia”

 

Nasihat Mak Salma pada Alya sudah cukup untuk membina kembali kebahagiaan dan ketenangan yang hampir padam. Kata-kata cemuhan dan hinaan orang yang terpahat di hatinya mula membara. Kebenciannya membuak-buak. Peperiksaan SPM berbaki sebulan lebih lagi. Mereka bertungkus lumus setiap hari mengulangkaji pelajaran tanpa lelah. Masing-masing mempunyai cita-cita yang menggunung tinggi.

 

Tiga bulan berlalu….

Kini mereka sudahpun menamatkan pengajian di tingkatan 5. Masing-masing menunggu keputusan SPM yang bakal mencorakkan masa depan mereka. Pagi yang redup itu menyaksikan kedamaian alam yang sungguh indah. Sejurus dapat tahu di corong radio keputusan SPM bakal diumumkan esok. Harith terus bergegas meluru pergi ke rumah Alya. 

 

“Assalamualaikum,” disapanya dari luar

“Waalaikumussalam, Ooo Harith, masuklah nak” ujar Mak Salma

“Alya kat mana mak cik?” dengan nada ingin tahu Harith bersuara.

“Alya ada kat dalam biliknya, kejap mak cik panggilkan”

Sejurus selepas itu, Alya datang dengan wajah yang begitu ayu dan sopan. 

“Alya, esok keputusan SPM akan diumumkan, jom pergi sama Harith”

“Wah!! betul ke ni? boleh saja Alya temankan Harith” ujar Alya

“Harith, sebelum ni Alya ada bagitahu  nak tunjuk album lama waktu kecil-kecil dulu, boleh Harith ambilkan dalam almari tepi televisyen” tambah Alya lagi.

“Boleh Alya, kejap Harith ambilkan” ujar Harith.

 

         Walaupun cacat penglihatan dan tidak dapat melihat, Alya selalu mendengar cerita daripada ibunya Mak Salma perihal setiap gambar dalam album tersebut. Sewaktu Harith mengambil album gambar tersebut, tiba-tiba terkeluar satu keratan kertas lama yang ditulis oleh Mak Salma. Hatinya berdebar-debar untuk mengetahui isi dalam kertas tersebut. Secara perlahan-lahan Harith membuka dan membacanya.

        Alangkah terkejutnya Harith bila membaca segala isi dalam kertas tersebut. Diari yang ditulis oleh Mak Salma merintih mementaskan kesedihan. Harith sempat merakam segala yang tertulis dalam telefon pintarnya. Harith seolah-olah tidak percaya dan berada dalam kesamaran untuk mencari jawapan sebenar. Kegundahan yang terpendam di lubuk fikirannya dapat ditafsirkan daripada pandangan mata dan raut wajahnya. 

        Keesokkan paginya, seawal jam 9.00 pagi mereka sudah terpacak di sekolah. Hari yang ditunggu-tunggu sudahpun tiba. Sejurus selepas itu, Cikgu Norizan meminta semua pelajar ke dewan untuk menerima keputusan peperiksaan masing-masing. Alangkah terkejutnya Harith dinobatkan pelajar cemerlang SPM pada tahun itu di sekolahnya. Keputusan 10A+ membuatkan dia begitu yakin permohonanya untuk melanjutkan ke luar negara akan diterima. Begitu juga dengan Alya, dia antara 10 pelajar cemerlang kategori pelajar kurang upaya (OKU). Walaupun keputusannya tidak sehebat Harith, tetapi dia bersyukur dengan keadaannya yang cacat penglihatan mampu meraih keputusan yang cemerlang dalam SPM.

Selang beberapa bulan, permohonan Harith untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara diterima. Dia ditawarkan bidang kejuruteraan mekanikal di University of Edinburgh selama 5 tahun pengajian. Alangkah gembira hatinya dan dia tidak sabar untuk memberitahu keluarganya dan Alya. Petang itu, mereka berjumpa di Pantai Linut untuk menceritakan perkembangan diri masing-masing.

 

“Tahniah Harith, atas tawaran pengajian ke luar negara. Alya masih menunggu tawaran universiti, doakan Alya berjaya sama seperti Harith” ujar Alya.

“InshaAllah, rezeki Alya bakal menyusul nanti”

“Alya, sebenarnya tujuan Harith berjumpa dengan Alya ada sesuatu perkara yang nak diberitahu” dengan nada terpaksa Harith bersuara.

“Apa tu Harith? Alya sudi mendengar” balas Alya.

 

Harith seolah-olah kelu untuk berkata. Dia terpaksa memaniskan muka untuk mencipta perbualan supaya tidak kaku. Cara Harith bercakap lambat-lambat semacam memancing kesabaran Alya. Lalu Harith membuka telefonnya, dan membaca di depan Alya.

 

Diari 19 Jun 2001, Selasa

(11.30 malam)

Hari yang cukup memberi tamparan hebat dalam hidupku. Insan yang ku percayai selama ini sanggup menduakan aku. Perasaan marah petang tadi belum lagi reda. Aku merasakan hidupku kosong dimamah dan dirampas kebahagiaan oleh orang lain. Aku terpaksa memilih jalan ini. Aku membuat sesuatu di luar jangkaan. Anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa. Aku telah merosakkan masa depan anakku sendiri. Aku butakan matanya dengan sebilah pisau kecil. Tak mampu ku hadapi hidupku keseorangan diri

“Maafkan mak, Alya..Mak terpaksa memilih jalan ini agar dirimu tidak sesekali bertanya perihal bapa kandungmu. Agar dirimu tidak sesekali melihat wajah bapamu”

Alya,

Maafkan mak berlaku kejam atas dirimu nak. Mak merahsiakan hal yang mungkin sukar  untuk diterima. Mak berjanji akan menderma kembali mata mak kepada kamu. Itu janji mak, nak.

Yang Benar,

Salma

         Belum sempat Harith membaca keseluruhan isi diari tersebut, Alya meraung sekuat hati. Dari kelopak matanya tergenang air mata hangat. Alya seolah-olah bagaikan dirasuk sesuatu dan dia tidak dapat menerima perbuatan Mak Salma terhadapnya. Sejurus selepas itu Alya meninggalkan Harith seorang diri.

Alya bertekad untuk lari daripada rumah. Dia cuba memendamkan gusar jauh di lubuk nalurinya tanpa pengetahuan ibunya.  Malam itu, dicapainya sehelai kertas dan menulis segala luahan isi menggunakan tulisan braille. Dia mahu lari dari lingkaran yang memusnahkan masa depannya. Alya ingin membuka lembaran hidup baru. Sewaktu Mak Salma sedang nyenyak tidur, Alya meninggalkan ibunya tanpa sebarang pengetahuan. 

 

Lima tahun berlalu…..

      Harith sudahpun menamatkan pengajiannya di University of Edinburgh. Sewaktu dia berjalan di sekitar lapangan terbang KLIA, dia terserempak dengan seseorang yang mirip seperti Alya. Harith mula mengekori wanita tersebut.

 

“Assalamualaikum..Nur Baidatul Alya binti Ahmad Bukhari” ujar Harith

Tiba-tiba wanita tersebut memandang ke arah belakang lalu menjawab.

“Waalaikumussalam, boleh saya tahu encik ni siapa?

“Saya Harith, insan yang pernah rapat dengan Alya suatu masa dulu” tambah Harith.

 

      Apabila mendengar jawapan daripada Harith, Alya seolah-olah ingin mengelakkan diri. Kejauhan merapatkan kerinduan yang terpelanting. Perbualan mereka menjadi panjang. Selama ini Alya tinggal bersama ibu saudaranya iaitu adik kepada bapa kandungnya Encik Bukhari. Dia bekerja sebagai pengusaha butik pengantin. Kebetulan dia baru sahaja pulang dari Indonesia menghadiri majlis penghargaan seni budaya.

“Alya, ada satu perkara yang Harith belum ceritakan pada awak” dengan nada sebak Harith membaca kembali dan menunjukkan gambar diari yang ditulis Mak Salma. 

       Kalimat-kalimat itu bagai anak panah yang tajam menikam jiwa Alya yang memang sudah sakit itu. Mak Salma sudah menghembuskan nafasnya pada tahun lalu akibat barah otak. Rupa-rupanya selama ini ibunya juga ada berhubung dengan ibu saudaranya untuk menguruskan segala amanatnya. Sehingga hari ini, Alya berasa begitu bersalah. Kebenciaannya yang membuak-buak dulu terpadam begitu sahaja. 

 

“Mak, maafkan segala khilaf Alya” dengan nada sebak dia bersuara.

 

       Alya menyesal atas segala tindakannya. Betapa besarnya tanggungjawab  berbuat baik kepada ibu bapa sehingga  Allah S.W.T ada menyebut di beberapa tempat dalam Al-Quran dengan menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepadaNya dan berbakti kepada ibu bapa.

Tamat

Disediakan oleh,

M.Huzaifi 

Mukah, Sarawak

 

    Leave a Reply

    Kenapa anda perlu membeli dengan kami?

    PENGHANTARAN PANTAS
    Tempahan anda akan diproses pada hari yang sama jika dibuat sebelum tengah hari.
    BUKU TERBAIK & BERKUALITI
    Buku-buku terbitan kami hanyalah yang terbaik dan berkualiti. Disaring mengikut keperluan semasa.
    PEMBAYARAN SELAMAT 100%
    Pembayaran boleh dibuat secara FPX / MasterCard / Visa melalui pelbagai jenis bank.

    Mari sertai komuniti buku kami agar anda tidak terlepas peluang info terkini.

    Selamat datang ke Kafe Buku Paling Sempurna, JEJAK BUKU & KOPI.

    Kombinasi sempurna antara rasa kopi dan pastri yang lazat dengan ratusan judul buku pelbagai genre.

    Nikmati WiFi percuma dan ruang duduk yang selesa untuk anda bersantai bersama keluarga atau menyiapkan tugasan di sini.

    Jemput datang ke JEJAK BUKU & KOPI di Bandar Puteri Bangi.

    Inginkan ruang khas ?

    Co-working space   l   Seminar   l   Kelas   l   Wacana   l   dan lain-lain ?

    Bintang Tanpa Nama.

    Bintang tanpa nama, barangkali begitulah kita dalam hidup seseorang. Bersinar dan wujud tetapi tidak didendang. Terpulang – dan demikianlah Ilham dan Aya yang menjadi bintang sesama sendiri.

    Di kota sederhana Kuantan, Aya menelusuri hari-harinya sebagai seorang peguam jenayah ditemani Ilham, lelaki yang pernah disukainya. Ilham, penyeduh kopi di kafe ‘Kita, Usai’ punya cerita tersendiri di sebalik senyumannya yang penuh tawa dan terkadang lara.

    Sejak mereka bertemu kembali, fasa demi fasa ditempuhi dalam waktu yang singkat – kehilangan, kemaafan, persahabatan, kekeluargaan dan cerita silam yang sentiasa melingkari hidup mereka berdua.

    Siapakah yang akan menyakiti dirinya sendiri? Aya atau Ilham? Entahlah, mungkin kamu juga. Orang yang sering membuka ruang untuk disakiti.