fbpx
Penghantaran Percuma untuk pembelian melebihi RM199
RM0.00 0
Cart

No products in the cart.

UTAMA
JT & JIWA
CARI
RM0.00 0
Cart

No products in the cart.

Continue Shopping
TROLI

Adiwira Wanita Unggul: Cut Nyak Dien

Bulan Mac selalu disinonimkan sebagai ‘bulan wanita’ kerana pada bulan inilah jatuhnya tarikh sambutan Hari Wanita Sedunia iaitu 8 Mac pada setiap tahun. Selain sambutan di pelbagai peringkat, kaum wanita juga berpeluang menikmati diskaun apabila membeli sesetengah produk atau perkhidmatan.

Industri hiburan tidak ketinggalan mengambil kesempatan ini untuk menayangkan rancangan televisyen dan filem yang dirasakan mengangkat tema wanita. Antara yang popular kini pastinya sebuah filem fiksyen dengan adiwira wanita sebagai watak utamanya. Kita dapat melihat ramai wanita (juga lelaki) berpusu-pusu ke panggung wayang untuk menonton filem ini. Ada yang turut membawa anak-anak supaya mereka dapat menyaksikan dengan lebih dekat kehebatan watak adiwira tersebut. Tidak cukup dengan itu, panggung wayang juga menawarkan tiket percuma buat wanita yang datang untuk menontonnya pada Hari Wanita. Begitu hebatnya penangan wanita!

Tahukah anda, di dunia nyata kita sebenarnya tidak kurang watak adiwira wanita yang boleh dicontohi dan dijadikan inspirasi. Wanita-wanita ini mungkin tidak mempunyai kuasa luar biasa, namun itulah yang menjadikan mereka lebih sesuai dan relevan untuk diperkenalkan kepada para wanita dan anak-anak kita. Terutamanya tokoh-tokoh wanita yang hayatnya tidak jauh dari sudut masa dan geografi, di samping tokoh-tokoh yang nama mereka terpahat dalam sejarah Islam. Di dalam artikel ini, penulis ingin berkongsi tentang seorang tokoh dari bumi Aceh bernama Cut Nyak Dhien.

Siapakah Cut Nyak Dhien?

Cut Nyak Dhien dilahirkan dalam keluarga bangsawan pada 1848 di Lampadang, Aceh Besar. Ayahnya, Teuku Nanta Setia merupakan seorang uleebalang di wilayah VI Mukim. Semasa Cut Nyak Dhien lahir dan membesar, rakyat di wilayah VI Mukim sedang membangun benteng pertahanan bagi menghadapi serangan daripada wilayah Meuraksa. Ketika itu, beliau selalu memerhatikan bagaimana ayahnya berbincang dengan tokoh-rokoh besar di rumah mereka tentang hal ehwal peperangan.

Semasa hayatnya, Cut Nyak Dhien pernah berkahwin sebanyak dua kali dan suaminya bukanlah calang-calang lelaki. Suami pertamanya, Teuku Cek Ibrahim Lamnga adalah seorang pemuda yang taat pada agama dan tidak gentar di medan perang. Setelah suami pertamanya syahid ketika bertempur dengan Belanda di Gle Tarum, Cut Nyak Dhien berkahwin pula dengan Teuku Umar, seorang pemuda yang terkenal dengan kehebatannya memimpin pasukan perang. Pasangan yang bersatu atas nama perjuangan ini pernah menimbulkan rasa gerun dan tidak tenteram kepada Belanda.

Peribadi dan perjuangan Cut Nyak Dhien amat menarik untuk ditelusuri, mungkin kerana jarangnya kita dapat membaca kisah tokoh-tokoh seperti beliau. Ini adalah antara sebab kenapa Cut Nyak Dhien adalah adiwira yang patut dijadikan inspirasi oleh para wanita:

1. Beliau adalah ketua yang berkarisma dan amat dihormati
Mengangkat wanita sebagai ketua bukanlah perkara asing di bumi Aceh. Cut Nyak Dhien sendiri telah diberikan perhatian oleh Teuku Nanta Setia sejak kecil supaya dapat menggantikan tempatnya apabila dewasa kelak. Peranan Cut Nyak Dhien di medan perang bukan setakat isteri yang mendampingi suami, malah beliau menjadi perancang strategi. Ada yang mengatakan, Cut Nyak Dhien adalah ‘otak’ Teuku Umar.

Selepas kematian Teuku Umar, beliau tidak berhenti memimpin pasukan dan meniupkan api perjuangan. Para pengikutnya amat menghormati dan melindungi beliau, tidak kira lelaki mahupun wanita. Sehingga beliau sudah rabun dan tidak berdaya dari segi fizikal pun, Cut Nyak Dhien tetap disegani musuh.

2. Wanita bangsawan yang sanggup hidup susah bersama suami dan pengikutnya.
Apabila kampungnya diserang Belanda, Cut Nyak Dhien hidup mengungsi dan jauh daripada suami pertamanya yang keluar berperang selama dua tahun setengah. Semasa pengungsian inilah api kebencian beliau kepada Belanda menjadi semakin membara dan sokongan kepada suaminya menjadi bertambah kuat. Setelah berkahwin dengan Teuku Umar, Cut Nyak Dhien enggan berjauhan dengan suaminya dan sanggup hidup secara gerila selama 20 tahun. Pernah Teuku Umar mencadangkan supaya isterinya mengungsi ke tempat yang lebih aman, namun ini jawapan Cut Nyak Dhien;

“Hanya ujung peluru kafir yang dapat menghambat aku. Jangan dirisaukan aku. Aku tidak bersedia berpisah dengan kau. Aku rela menderita demi melanjutkan perjuangan suci ini. Aku terima semua ini. Oleh sebab itu harapan aku, teruskanlah perjuangan ini. Aku tetap setia mendampingimu.”

Sekian lama di dalam hutan, akhirnya Cut Nyak Dhien ditemui Belanda. Musuhnya itu terkejut melihat keadaan beliau yang serba kekurangan. Belanda menyangka wanita bangsawan yang mereka geruni itu memiliki tempat perlindungan yang selesa dan memakai perhiasan cantik. Namun sangkaan mereka salah sama sekali. Kehidupan selesa tiada dalam kamus seorang pejuang seperti Cut Nyak Dhien.

3. Cepat bangkit selepas kehilangan suami.
Gugurnya Teuku Cek Ibrahim Lamnga di medan perang mengundang rasa sedih dan hiba dalam diri Cut Nyak Dhien. Beliau dikatakan menangis dan meratapi kematian tersebut. Namun, setelah ditenangkan oleh ayahnya, Cut Nyak Dhien sedar dan bangkit daripada kesedihan selepas beberapa hari. Ini pesan Teuku Nanta Setia ketika memujuk anak perempuannya;

“Jangan kau tangisi dia, bukankah ia telah berbakti kepada tanah air dan agama. Kini ia telah syahid, kita juga akan mengikuti jejaknya. Setiap manusia akan mati. Sabarlah menghadapi cobaan ini. Teguhkan iman dan bulatkan  tekad. Pada pundak kitalah terletak tanggungjawab yang berat ini.”

Berbanding semasa kehilangan suami pertamanya, faktor usia dan kematangan menjadikan Cut Nyak Dhien lebih tenang apabila dikhabarkan berita Teuku Umar yang gugur ditembak Belanda. Mengambil alih tugas suaminya sebagai ketua pasukan, beliau meneruskan perjuangan demi tanah air dan agama tercinta. Tiada masa untuk menoleh dan maratapi kenangan lalu lagi.

4. Berpegang teguh pada prinsip dan perjuangan.
Cut Nyak Dhien adalah seorang wanita yang mengajar kita supaya tidak menyandarkan ketaatan dan perjuangan pada manusia. Walaupun manusia di sekelilingnya telah berubah atau tiada, beliau tidak sesekali menjadi seperti lalang ditiup angin. Pernah suatu masa, Teuku Umar memutuskan untuk berpihak kepada Belanda. Ada yang mengatakan bahawa ini adalah rancangan beliau untuk mendapatkan maklumat tentang strategi Belanda dan mendapatkan bekalan senjata. Walaupun Cut Nyak Dhien setia berada di sisi Teuku Umar supaya dapat memujuknya kembali kepada perjuangan sebenar, beliau enggan menemani suaminya ketika rumah mereka dikunjungi tetamu Belanda.

Seiring pertambahan usia, kesihatan dan keadaan fizikal Cut Nyak Dhien semakin membimbangkan. Matanya sudah rabun, tubuhnya juga sudah tidak kuat. Namun begitu, Cut Nyak Dhien enggan menyerah kalah dan lebih rela mati daripada menyerahkan diri kepada Belanda. Semasa penangkapan beliau, Cut Nyak Dhien masih mahu mempertahankan maruahnya dan berkata kepada tentera Belanda, “Jangan sentuh badan saya kafir.”. Jika kita melihat gambar selepas penangkapan tersebut, kita boleh melihat Cut Nyak Dhien masih mengenakan tudung kepala, sebagai bukti ketaatan beliau kepada agama.

5. Wanita yang berani dan menjadi contoh kepada orang sekelilingnya.
Apabila membaca kisah Cut Nyak Dhien, tidak dapat tidak kita akan membuat kesimpulan bahawa beliau adalah wanita yang sangat berani (dengan keberanian luar biasa jika mahu diukur dengan zaman sekarang). Keberanian Cut Nyak Dhien inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada para pengikut dan pasukan gerilanya. Paling utama, beliau telah menjadi contoh kepada anak perempuannya sendiri bernama Cut Gambang. Dalam satu pertempuran dengan Belanda, suami Cut Gambang telah ditembak oleh tentera Belanda. Cut Gambang mara ke depan bagi melindungi suaminya yang tercinta. Malangnya, Cut Gambang turut ditembak. Di saat-saat menanti malaikat maut mencabut nyawanya, Cut Gambang sempat memberi amaran kepada tentera Belanda yang cuba mendekatinya, “Janganlah sentuh aku kafir buduk.”

Setelah ditangkap, Cut Nyak Dhien masih menerima kunjungan daripada rakyat Aceh yang amat mengasihinya. Hal ini menimbulkan kegusaran kepada Belanda, lalu beliau diasingkan ke Sumedang, Jawa Barat.

Cut Nyak Dien pernah menimbulkan ketakutan di hati penjajah Belanda suatu masa dahulu

Selama Cut Nyak Dhien di sana, identiti beliau tidak diketahui oleh masyarakat tempatan. Fitrah seorang pejuang, walau di mana pun diri berada tetap mahu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Dengan menggunakan daya ingatannya, Cut Nyak Dhien mengajar wanita tempatan mengaji al-Quran. Masyarakat tempatan memanggil beliau Ibu Peru atau Ibu Ratu kerana kepandaiannya mengaji dan pengetahuan agamanya yang mendalam. Hanya setelah beliau meninggal dunia, barulah mereka mengetahui bahawa itu adalah Cut Nyak Dhien. Begitulah peribadi seorang pejuang yang merendah diri dan wajar untuk kita contohi, terlebih lagi dalam zaman yang penuh fitnah ini.

Buku yang khusus tentang Cut Nyak Dhien agak sukar dicari di pasaran Malaysia. Namun begitu, banyak artikel tentang beliau yang boleh dibaca di internet dan filem bertajuk Tjoet Nya’ Dhien yang diterbitkan pada tahun 1988 boleh ditonton di Youtube. Watak Cut Nyak Dhien yang dimainkan oleh Christine Hakim amat mengesankan. Jika anda tidak berhajat untuk ke panggung wayang pada hari wanita ini, filem sejarah ini amat disarankan untuk ditonton.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

Zahrah Yunos

Rujukan:

1. Cut Nyak Din oleh Muchtaruddin Ibrahim. Terbitan Balai Pustaka.

2. Jejak-jejak Pahlawan: Perekat Kesatuan Bangsa Indonesia oleh J.B Soedarmanta. Terbitan Grasindo.

3. Sepak Terjang 10 Wanita Muslim Terpopuler oleh Merry Magdalena. Terbitan Grasindo.

4. Kisah Cut Nyak Dhien di Sumedang Meski Tak Melihat Dapat Mengajar Mengaji Ibu-ibu. http://m.tribunnews.com/amp/nasional/2017/08/11/kisah-cut-nyak-dien-di-sumedang-meski-tak-melihat-dapat-mengajar-mengaji-ibu-ibu?page=2

    Leave a Reply

    Kenapa anda perlu membeli dengan kami?

    PENGHANTARAN PANTAS
    Tempahan anda akan diproses pada hari yang sama jika dibuat sebelum tengah hari.
    BUKU TERBAIK & BERKUALITI
    Buku-buku terbitan kami hanyalah yang terbaik dan berkualiti. Disaring mengikut keperluan semasa.
    PEMBAYARAN SELAMAT 100%
    Pembayaran boleh dibuat secara FPX / MasterCard / Visa melalui pelbagai jenis bank.

    Mari sertai komuniti buku kami agar anda tidak terlepas peluang info terkini.

    Selamat datang ke Kafe Buku Paling Sempurna, JEJAK BUKU & KOPI.

    Kombinasi sempurna antara rasa kopi dan pastri yang lazat dengan ratusan judul buku pelbagai genre.

    Nikmati WiFi percuma dan ruang duduk yang selesa untuk anda bersantai bersama keluarga atau menyiapkan tugasan di sini.

    Jemput datang ke JEJAK BUKU & KOPI di Bandar Puteri Bangi.

    Inginkan ruang khas ?

    Co-working space   l   Seminar   l   Kelas   l   Wacana   l   dan lain-lain ?

    Bintang Tanpa Nama.

    Bintang tanpa nama, barangkali begitulah kita dalam hidup seseorang. Bersinar dan wujud tetapi tidak didendang. Terpulang – dan demikianlah Ilham dan Aya yang menjadi bintang sesama sendiri.

    Di kota sederhana Kuantan, Aya menelusuri hari-harinya sebagai seorang peguam jenayah ditemani Ilham, lelaki yang pernah disukainya. Ilham, penyeduh kopi di kafe ‘Kita, Usai’ punya cerita tersendiri di sebalik senyumannya yang penuh tawa dan terkadang lara.

    Sejak mereka bertemu kembali, fasa demi fasa ditempuhi dalam waktu yang singkat – kehilangan, kemaafan, persahabatan, kekeluargaan dan cerita silam yang sentiasa melingkari hidup mereka berdua.

    Siapakah yang akan menyakiti dirinya sendiri? Aya atau Ilham? Entahlah, mungkin kamu juga. Orang yang sering membuka ruang untuk disakiti.