fbpx
Penghantaran Percuma untuk pembelian melebihi RM199
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

UTAMA
JT & JIWA
CARI
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

Continue shopping
TROLI

Adakah Menjadi Ibu Itu Suatu Beban Terhadap Kaum Wanita?

Hampir setahun telah berlalu sejak Hafsah meninggalkan Australia. Lebih tiga tahun dia merantau dan bermukim di sana untuk menuntut ilmu bagi menyelesaikan pengajian pasca siswazahnya. Meski kelulusan akademik yang diperolehinya merupakan sesuatu yang bermakna, lebih bermakna pengalaman yang dikutip sekaligus semakin mematangkan dirinya yang sudah sepatutnya matang jika diukur dari jumlah usianya. 

Rentetan berada jauh dari zon selesa, Hafsah belajar meraikan perbezaan pandangan, belajar untuk tidak mudah melatah dengan kerenah manusia yang belum diberi hidayah, belajar untuk tidak mudah menghukum, belajar yang manusia ini tidak boleh hidup sendiri-sendiri, juga belajar untuk tidak taksub dengan kumpulan dan fikrah tertentu. 

Banyak sekali pelajaran yang diperolehi, Hafsah tidak mampu menghitungnya, hanya sedikit ucapan kesyukuran yang mampu dipanjatkan atas rezeki Allah melorongkan peluang untuk dia merasai pengalaman menetap di satu sudut di pulau terbesar di dunia itu. Di rantauan negara majoriti bukan Islam itu juga Hafsah merasai sendiri bahang Islamofobia, juga menemukan manusia-manusia bukan Islam yang berhati mulia tidak memilih bulu, memejamkan mata pada bangsa dan kepercayaan orang lain. 

Namun, kepercayaan yang semua golongan punya hak itu terlampau, hingga merestui golongan yang mahu mencintai sesama jantina, keinginan semua orang punya hak untuk memakai apa sahaja sebagai sokongan kepada yang berhijab sebagaimana hak mereka mahu berbikini. Malah atas dasar hak asasi jika tidak mahu memakai apa-apa pun tidak mengapa. 

Niat yang tulus lagi mulia, mahukan kebaikan untuk semua tetapi hanya mengguna akal yang terbatas. Betapa dakwah itu suatu kerja perlukan ketelitian: amar makruf nahi mungkar, tidak boleh menghukum tetapi tidak pula sampai meredhai perbuatan mungkar. Bak menarik rambut dalam tepung.

Di Australia juga, Hafsah mengenali Hla, wanita baik hati berasal dari negara majoriti penganut agama Buddha. Entah bagaimana, mereka ditakdirkan tinggal serumah meski Hafsah cuba mengelak daripada tinggal bersama wanita bukan Muslim atas alasan sukar menjaga aurat dan kerumitan memastikan makanan halal. Namun, ketika itu Hafsah tidak ketemu wanita Muslim yang berminat dengan rumah sewanya, sedangkan untuk membayar sewa rumah secara perseorangan, Hafsah tidak sanggup. Sewa rumah di bumi ‘Kangaroo’ dikira secara mingguan dan jumlah bayaran seminggu sahaja umpama bayaran sewa rumah di Malaysia selama sebulan. Mahalnya bukan main. 

Segala kebimbangan dan sangka buruk Hafsah terhakis jua. Hla ternyata seorang yang berbudi bahasa, malah akhlaknya mungkin lebih baik daripada sebahagian Muslim. Hla seorang yang sangat terpuji dalam hal hubungan sesama manusia; mengutamakan sahabat-sahabat dan para tetamu. Hingga kadang-kadang Hla malu sendiri kerana selaku Muslim, dia sendiri tidak mampu mengutamakan kepentingan orang lain seperti mana yang dilakukan Hla. 

Pada permulaannya, Hafsah agak ragu-ragu dan berhati-hati apabila membincangkan soal agama dengan Hla. Namun, lama kelamaan, diskusi mereka semakin berkembang, merentasi isu makanan halal dan soal menutup aurat, menuju isu kepimpinan khilafah Islam dan juga hari kiamat. Hla rupanya seorang yang sangat suka membaca dan mengambil tahu hal ehwal antarabangsa juga tentang pelbagai kepercayaan dan agama.

Hafsah berasa senang kerana perbincangan mereka selalunya tenang dan berakhir dengan masing-masing tidak memaksakan pandangan sendiri kepada pihak yang lain. Mungkin kerana usia mereka yang sebaya dan masing-masing telah melepasi era berdarah panas yang ghairah berdebat penuh keakuan. Pun begitu, perbualan mereka pernah juga hampir menjadi tegang ketika menyentuh satu isu: bernikah pada usia muda. 

“Ya, saya faham hujah kamu yang di dalam Islam, kamu bernikah kerana Allah, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Tetapi, saya tidak rasa bernikah muda itu menguntungkan pihak perempuan, ia hanya menguntungkan pihak lelaki bagi pihak jangka panjang. Terutamanya di dalam masyarakat timur yang masih kental amalan patriarki,” Hla menyuarakan kerisauannya. 

“Bagaimana jika nanti mereka berpisah? Dalam usia yang muda, dengan kerjaya yang belum stabil, mungkin pula terpaksa menyara anak-anak hasil perkahwinan. Bagi pihak lelaki, imejnya kurang tercalar setelah bercerai, tetapi bagi seorang wanita, dia akan dipandang serong oleh masyarakat,” sambung Hla. 

“Apa jaminannya jika berkahwin di usia yang agak matang, tidak akan berlaku perpisahan?” balas Hafsah. 

“Memang tiada jaminan, tetapi sekurang-kurangnya si wanita sudah matang emosi dan juga lebih stabil kehidupannya.” 

Hafsah menarik nafas, dia teringat pada kuliah agama Sheikh Asim yang selalu dihadirinya di perantauan. Terngiang-ngiang kata-kata Sheikh Asim dalam kotak ingatannya, “Wahai para lelaki, jangan jadi seorang bapa yang pengecut. Jangan beri amaran kepada anak-anak perempuan anda seperti kata-kata begini: jangan kembali ke rumah jika pernikahan tidak kekal.”

Seraya mencerna isi pesanan Sheikh Asim, Hafsah menjawab persoalan Hla, 

“Islam menyuruh setiap lelaki menjaga wanita. Jika wanita itu tidak berkahwin, bapanya atau saudara lelakinya yang perlu mengambil tanggungjawab. Jadi tidak timbul isu wanita teraniaya akibat perceraian. Islam beroperasi sebagai satu sistem, bukan secara terpencil atau dalam lingkungan unit tertentu. Secara jujurnya, saya mengakui, Islam sudah menyediakan panduan lengkap untuk pembelaan wanita, tetapi perlaksanaannya masih jauh panggang dari api.” 

Hafsah mengakhiri ayat dengan rasa sesal. Dia ingin menyambung cerita tentang bagaimana pada zaman para sahabat dan generasi selepas sahabat; para balu dan janda tidak akan dibiarkan terkontang-kanting tanpa pembelaan. Pasti ada lelaki yang tampil membantu, namun jika diteruskan terpaksa menyentuh soal poligami pula. Hafsah kira situasi akan jadi makin tegang jika dia menghalakan perbualan ke arah itu. 

Lamunan Hafsah tiba-tiba mati apabila nada tering telefon pintarnya berkumandang. Tertera nama Hla sebagai pemanggilnya. Hafsah segera menyentuh simbol telefon pada skrin untuk menjawabnya. 

“Apa khabar Hafsah, sudah lama kita tidak bertemu, saya sudah tiba di lapangan terbang,” ceria sekali nada suara Hla. Hla sedang berada di Malaysia, menghadiri persidangan hak persamaan wanita di ibu negara anjuran sebuah kumpulan feminis yang agak kontroversi. Memandangkan Hafsah bertugas sebagai pendidik di sebuah institusi pengajian tinggi di pantai timur Semenanjung Malaysia, Hla terpaksa menaiki kapal terbang dari ibu negara untuk bertemu Hafsah.

“Baik Hla, maafkan saya kerana saya baru hendak bertolak mengambil kamu. Kamu tunggu ya, insya Allah lagi setengah jam saya sampai,” Hafsah memberitahu. 

“Tidak mengapa Hafsa, insya Allah kita jumpa nanti.” Hafsah tertawa kecil mendengar Hla menyebut insya Allah. Ini bukan kali pertama Hla menuturkannya. Hla juga biasa menyebut Alhamdulillah, hasil daripada pergaulan dengan rakan-rakan Muslim.

Setelah menjemput Hla di lapangan terbang, Hafsah memandu keretanya menuju ke kawasan pantai yang menjadi tarikan pelancong di situ. Dia bertujuan mengajak Hla mencuba makanan di sebuah gerai yang terkenal dengan keenakan masakannya. Sambil menanti tempahan makanan sampai ke meja, diiringi angin pantai yang nyaman, mereka memaklumkan berita terkini masing-masing. 

Meski mereka boleh sahaja berhubung dengan kemudahan teknologi sedia ada, kedua-duanya merasakan perjumpaan fizikal lebih mengujakan. Seperti dijangka Hafsah, Hla mula berkongsi dapatannya daripada persidangan hak persamaan wanita yang dihadirinya.

“Fungsi wanita tidak sepatutnya hanya disempitkan ruang lingkupnya di dalam rumah sahaja. Wanita juga tidak wajar dipaksa untuk melahirkan anak. Mereka berhak untuk memilih tidak mahu menjadi seorang ibu dan terpenjara seluruh hidupnya menghambakan diri kepada keluarga, atau lebih tepatnya untuk lelaki.”

Hafsah tersenyum nipis. Meski dia sudah menjangkakan perbincangan sebegini akan timbul namun dia cuba berhati-hati untuk membalas. Mengambil masa untuk menyusun ayat agar tidak berbaur bantahan. 

“Jadi kamu rasa menjadi ibu itu suatu beban?”

“Maksud saya, wanita harus diberi pilihan kerana menjadi ibu itu suatu tanggungjawab.”

“Baik saya setuju dengan itu, tetapi apa akan jadi pada umat manusia jika semua wanita tidak mahu beranak? Bagaimana warisan akan diteruskan?”

Hla terdiam seketika sebelum menuturkan kata-kata, “Selagi tiada kesamaan hak wanita, selagi itu wanita hanya akan menjadi kilang anak.”

Lagi-lagi isu patriarki. Hafsah tidak menidakkan realiti wujudnya dominasi lelaki di kebanyakan negara seluruh dunia, terutamanya negara sebelah timur dan majoriti penduduk beragama Islam. Namun tidak pula dia beranggapan yang penyelesaiannya ialah menyama-ratakan hak wanita dengan lelaki.

“Kamu setuju kalau saya katakan penciptaan wanita dan lelaki adalah berbeza?” Hafsah cuba mengawal arah topik perbualan. Hla mengangguk sekali. Makanan yang ditempah mereka sampai pada masa yang sama. Hafsah menunggu pelayan selesai meletakkan makanan di atas meja sebelum menyambung, 

“Wanita itu fitrahnya lebih lembut daripada lelaki bukan, jadi mana mungkin tanggungjawab lelaki dan wanita perlu disamakan?” 

Air muka Hla sedikit berubah. “Jadi maksud kamu, perempuan itu lebih lemah dan lebih kurang daripada lelaki?”

“Bukan begitu, lelaki dan perempuan ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Lelaki contohnya, tidak mampu mengandung dan bersalin. Kita juga harus mengakui kudrat fizikal lelaki lebih daripada kita. Ini kes secara umum, saya tidak masukkan kes yang terpencil dalam perbincangan kita ini.” 

Hla mula mengukir senyuman mendengarkan Hafsah menyebut perkataan ‘kes terpencil’. “Memang penyelidik sejati, skop diperjelaskan.” Hafsah turut tersenyum.

“Maksud saya, penyelesaian kepada ketidakadilan tidak semestinya persamaan. Sebaliknya keadilan bermaksud wanita diberikan peranan yang bersesuaian dengan fitrahnya, begitu juga lelaki. Baik lelaki mahupun wanita kedua-duanya tidak boleh menganiayai satu sama lain.” 

Hla tidak menjawab, tampak dia sedang mencerna butir bicara Hafsah. Hafsah tidak berlengah untuk menyambung, “Ada satu hadis diriwayatkan Abu Hurairah r.a. yang berbunyi: 

“Seorang lelaki datang menemui Rasulullah S.A.W dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” 

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”

“Nah, di dalam Islam, penghormatan ke atas seorang ibu dilebihkan sebanyak tiga kali berbanding bapa.” 

Hafsah tidak menunggu maklum balas Hla lantas meneruskan, “Seorang sahabat bernama Jahimah r.a. datang menemui Rasulullah S.A.W meminta pandangan baginda tentang menyertai ekspedisi perang. Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”

“Syurga di bawah telapak kaki ibu?” Dahi Hla berkerut.

“Maksudnya, jika mahu masuk syurga Allah, keredhaan ibu perlu digapai dahulu,” Hafsah menerangkan.

“Tetapi realitinya, wanita masih ditindas,” tutur Hla dengan wajah yang muram.

“Benar, teori dan praktikal masih belum seiring. Tetapi bukan bermakna kita wanita harus menuntut hak yang tidak selari dengan fitrah.  Bukan sampai tidak mahu berkahwin, tidak mahu beranak, hingga mengabaikan keluarga. Yang perlu diperbetulkan ialah pendidikan dan memberi kesedaran tentang tanggungjawab sebenar lelaki dan wanita.”

“Saya mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan kata-kata kamu, tetapi ia boleh diterima,” ada nada toleransi dalam jawapan Hla. Dia menyudu makanan ke mulut dan mengunyah sedikit, tetapi Hafsa dapat menerka ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

“Saya ada satu soalan yang agak sensitif tetapi ia telah lama terbuku di hati saya.” Spontan Hafsah tersenyum, senang kerana tekaannya mengena. Hafsah membuat isyarat tangan agar Hla mengajukan soalan. 

“Kamu bercakap tentang peranan wanita bersesuaian fitrah dan pentingnya perkahwinan. Tetapi kenapa kamu masih belum berkahwin?” Hafsah tergelak kecil mendengar soalan cepu emas Hla.

“Hla, sejujurnya saya pernah terpengaruh dengan teori emansipasi wanita dari Barat. Saya telah terjebak menjadi kapitalis dalam soal perhubungan sesama manusia. Yang penting hanyalah hati saya yang senang, hingga akhirnya saya jadi takabbur, bertuhankan diri sendiri, saya sangat menyesal,” mendatar nada suara Hafsah, hampir tidak kedengaran.

“Saya hanya benar-benar memahami peranan wanita yang sebenar di usia yang sudah tidak begitu muda. Lebih baik lambat daripada langsung tidak berubah bukan?” Hafsah memaksa diri untuk senyum. Pahit senyumannya. 

“Kamu tidak rasakah susah menjadi wanita?” soalan Hla lebih berbentuk keluhan. 

Terus Hafsah teringat kepada ayat ketiga puluh dua daripada Surah An-Nisa’:

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Hafsah sedar, selagi kepercayaan kepada Allah sebagai Yang Maha Mengetahui dan keyakinan yang keadilan sebenar-benarnya hanyalah di akhirat tidak terpasak di dalam hati Hla, selagi itu Hla akan tetap ragu-ragu dan merasakan wanita sentiasa dizalimi.

Hafsah memohon kepada Allah agar hatinya benar-benar ikhlas sebelum menuturkan,  

“Di dalam Al-Quran ada banyak surah menyentuh hal wanita. Salah satunya ialah surah An Nur, bermaksud Surah Cahaya. Kamu tahu, di dalam bahasa Arab setiap benda mempunyai jantina. Matahari berjantina wanita manakala bulan berjantina lelaki. Bukankah bulan menerima cahaya daripada matahari?”

“Wanita itu umpama cahaya Hla. Jika sinarnya terlampau terik boleh memudharatkan, namun jika kadar sinarnya bersesuaian ia mampu menghangatkan dan dimanfaatkan. Tidak semestinya perlu menonjol untuk disedari, sedangkan cahaya malap dari lilin mampu menerangi. Tidak perlu mendamba manusia untuk menghargai, mohonlah kepada Pencipta cahaya untuk disyukuri.”  

Roman wajah Hla berubah sedikit menjadi lebih berseri.  Hafsa memandang Hla dengan penuh pengharapan. Benarlah, cahaya itu milik Allah.   

-Tamat-

 

 

Disediakan oleh,

Nur Idawati Md Enzai, berkhidmat sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu sejak tahun 2008.  Meminati penulisan kreatif dan sastera serta seorang pengumpul buku. Aktif berblog pada zaman belajar dulu dan kini kadang-kadang menulis di emwin.blogspot.com. Mula bervlog sejak PKP di saluran YouTube nur idaw di samping menghasilkan video-video pengajaran.


 

Apalah agaknya cerita-cerita zaman Nabi yang dapat membantu kita dalam memahami ibu, anak, isteri atau diri kita?
Sertai kami di www.jejaktarbiah.com/thicktalk-feminis sekarang!

    Leave a Reply

    Kenapa anda perlu membeli dengan kami?

    PENGHANTARAN PANTAS
    Tempahan anda akan diproses pada hari yang sama jika dibuat sebelum tengah hari.
    BUKU TERBAIK & BERKUALITI
    Buku-buku terbitan kami hanyalah yang terbaik dan berkualiti. Disaring mengikut keperluan semasa.
    PEMBAYARAN SELAMAT 100%
    Pembayaran boleh dibuat secara FPX / MasterCard / Visa melalui pelbagai jenis bank.

    Mari sertai komuniti buku kami agar anda tidak terlepas peluang info terkini.

    Selamat datang ke Kafe Buku Paling Sempurna, JEJAK BUKU & KOPI.

    Kombinasi sempurna antara rasa kopi dan pastri yang lazat dengan ratusan judul buku pelbagai genre.

    Nikmati WiFi percuma dan ruang duduk yang selesa untuk anda bersantai bersama keluarga atau menyiapkan tugasan di sini.

    Jemput datang ke JEJAK BUKU & KOPI di Bandar Puteri Bangi.

    Inginkan ruang khas ?

    Co-working space   l   Seminar   l   Kelas   l   Wacana   l   dan lain-lain ?

    Bintang Tanpa Nama.

    Bintang tanpa nama, barangkali begitulah kita dalam hidup seseorang. Bersinar dan wujud tetapi tidak didendang. Terpulang – dan demikianlah Ilham dan Aya yang menjadi bintang sesama sendiri.

    Di kota sederhana Kuantan, Aya menelusuri hari-harinya sebagai seorang peguam jenayah ditemani Ilham, lelaki yang pernah disukainya. Ilham, penyeduh kopi di kafe ‘Kita, Usai’ punya cerita tersendiri di sebalik senyumannya yang penuh tawa dan terkadang lara.

    Sejak mereka bertemu kembali, fasa demi fasa ditempuhi dalam waktu yang singkat – kehilangan, kemaafan, persahabatan, kekeluargaan dan cerita silam yang sentiasa melingkari hidup mereka berdua.

    Siapakah yang akan menyakiti dirinya sendiri? Aya atau Ilham? Entahlah, mungkin kamu juga. Orang yang sering membuka ruang untuk disakiti.