Kembara Menalar Diri
ilmu . Islam . kembara . Refleksi . sejarah . turki
Ilmu kita seperti pokok. Sejarah ialah akarnya. Kesihatan pokok banyak bergantung kepada kesihatan akar. Tanpa akar, pokok akan layu dan mati. Lahirnya sejarah untuk diperingati agar bermanfaat pada manusia masa kini. Tanpanya, manusia meraba di lembah kegelapan dalam mencari erti jati diri. Kesedaran terhadapnya melahirkan suatu rasa asyik yang tidak berperi, malah membentuk suatu keinsafan pada diri. Di atas dasar ini, manusia berusaha untuk menyingkap tabir rahsia masa lalu melalui cara yang sepatutnya demi menggapai kebenaran akan kesedaran itu. Setiap helaian dan lembaran kertas diselidiki, setiap tempat diterokai, setiap yang tertimbus digali semula. Kesemuanya kerana kebenaran sejarah yang membawanya kepada keagungan Ilahi. Begitulah yang dialami oleh penulis, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, ketika menumpahkan segala pengamatannya terhadap sejarah dalam Kembara Menalar Diri ini. Buku ini bertitik tolak daripada penyelidikan beliau terhadap seorang tokoh ilmuwan Turki Uthmaniyah yang terkemuka pada abad ke-16, Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi, atau Imam Birgivi. Kekaguman penulis terhadapnya ini menerbangkan beliau ke langit Turki demi menghayati segala keindahan dan kepahitan yang ditempuh oleh sosok insan ini. Sepanjang pengembaraannya di Turki, beliau ditemukan dengan kepelbagaian ragam manusia dan kebudayaan Turki, kisah-kisah yang mencuit perasaan dan khazanah keilmuan tempatan yang menyelongkar sisi yang tidak ditemukan dalam karya asing. Segala pengalaman ini menuntun penulis untuk berlabuh sebentar dan menalar erti kehidupan seseorang insan.